9/7/09

Masuk dan Keluar

Sengaja pergi ke sebuah bank di Segamat sebelum berbuka petang tadi. Menolong mem memasukkan sejumlah wang ke akaun emak saudaranya.

Perasaan bercelaru tiba-tiba datang yang aku sendiri tidak faham ketika beratur di mesin ATM.

Bukan apa. Sambil menunggu giliran di mesin deposit wang, terlihat muslim yang seagama bersusah beratur mengeluarkan wang.

Masing-masing yang pada anggapanku bersungguh untuk mendapatkan wang seolah-olah itulah saki baki wang yang ada dalam akaun. Macam sugul dan susah. Itu yang aku rasakan.

Manakala di mesin memasukkan wang, beratur tauke yang bukan seagama yang pada sangkaan aku ingin mendeposit wang yang diperolehi hasil perniagaan mereka. Bukannya sedikit. Berulang kali. Sekali dimasukkan secekak. Sampai tidak muat poket seluar mahupun poket baju. Jumlahnya? Amat banyak.

Pemandangan sebegini bukan sekali. Semasa beratur mengeluarkan wang gaji terbaru, selain muka-muka toya yang hendak keluarkan duit, ternampak sepasang pasangan suami isteri yang juga bukan seagamaku mendeposit sejumlah wang yang bukan sedikit. Tak main wang dalam poket. Dalam plastik! Banyak!

Suami di mesin sebelah kiri. Isteri di sebelah kanan. Lain macam saja dengar bunyi mesin mengira wang. Aku yakin, bukan duit gaji. Tapi hasil duit masuk dalam perniagaan mereka.

Menurut perkiraan aku yang tidak seberapa ini, banyak lagi yang perlu dilakukan oleh orang Islam. Berjihad dalam ekonomi aku kira. Masa sudah terlalu suntuk.

Apatah lagi untuk berdengki sesama kita. Hanya kerana wang gaji yang bukannya bercekak-cekak dan berplastik-plastik!

Entahlah...


8/2/09

Gunung dan Lalat

Ibn Mas'ud ada berkata: Orang-orang yang benar beriman, ketika melihat dosa-dosanya, seperti ia sedang duduk di bawah gunung. Ia khuatir kalau-kalau puncak gunung itu jatuh menimpanya.

Manakala orang munafik, ia memandang dosa-dosanya seperti menghalau lalat di hujung hidungnya.

7/31/09

Antara Hikmat dan Ilmu

Menurut Prof. Hamka dalam tafsirnya, hikmat lebih luas dari ilmu, bahkan penghujung ilmu adalah permulaan kepada hikmat. Hikmat bermaksud mengetahui yang tersirat dari yang tersurat, mengetahui penghujung kerana melihat yang pangkal.

Ahli hikmat melihat 'cewang di langit tanda panas, gabak di hulu tanda hujan'. Perasaannya halus. Melihat alam ia akan mengenal Tuhan.

7/28/09

Hikmah

Menurut Muhammad Abduh, hikmah adalah ilmu yang sah dan dapat dipertanggungjawabkan. Hikmah mempunyai pengaruh yang amat kuat terhadap seseorang terutamanya ketika ingin memilih apa yang mahu dilakukan. Kalau suatu kerja yang baik hasil dari ilmu yang sahih, maka kerja tersebut menjadi amal salih yang memberi faedah dan kebahagiaan.

Berbeza dengan orang yang berkhayal dengan bermacam khayalan. Sebab khayal bukanlah ilmu yang mempunyai pengaruh terhadap kemahuan seseorang. Maka tidak hairan banyak perancangan tidak berjaya untuk dilaksanakan.

4/20/09

Takdir


Maksud takdir ialah peraturan tertentu yang telah dibuat oleh Allah untuk segala yang ada di muka bumi ini. Peraturan tersebut ialah undang-undang umum ataupun ketentuan-ketentuan yang diikat dengan sebab dan musabbab.

Menurut Imam Nawawi, ketika memberikan definisi takdir "…segala yang ada dalam alam ini sudahpun digariskan sejak masa qidam terdahulu. Allah mengetahui apa sahaja yang terjadi dan bila terjadi bersesuaian dengan garis yang ditetapkannya. Apa yang berlaku kemudiannya akan pasti sama dan selari dari segi sifat-sifat dan keadaan yang khusus tepat seperti yang telah digariskan oleh Allah"

      Manakala Imam al-Khattabi berkata mengenai takdir ini "…banyak orang menyangka bahawa erti qadha dan qadar Allah adalah semacam satu bentuk pemaksaan yang dilaksanakan oleh Allah terhadap hambaNya. Padahal bukan begitu sebenarnya, takdir itu ialah suatu macam pemberitahuan mengenai apa yang telah diketahui Allah tentang apa saja perbuatan manusia. Jadi, berlakunya sesuatu itupun kerana menurut takdir yang telah ditentukan Allah sesuai dengan asal penciptaan sesuatu perkara yang mempunyai sifat baik ataupun buruk."

       Daripada definisi yang diberikan oleh al-Khattabi ini, kita dapat maklumi bahawa Allah akan mengetahui segala peristiwa dan berlakunya peristiwa semestinya sama dan selari dengan apa yang diketahui oleh Allah S.W.T. Perlu dijelaskan bahawa pengetahuan Allah itu tidak akan memberi apa-apa kesan pun terhadap kehendak yang ada pada manusia. Kerana pengetahuan mempunyai sifat menyingkap dan bukannya mempengaruhi.

  Sebagai contoh, seorang bapa mengetahui yang anaknya pandai, pintar berusaha bersungguh mengulangkaji pelajaran. Namun, pengetahuan bapa mengenai anaknya itu belum tentu akan menjamin yang anaknya akan berjaya dalam pelajarannya.

Qada' dan Qadar


 Abu Hurairah apabila setiap kali ditanya orang mengenai perkara-perkara pelik dalam persoalan takdir beliau menjawab "…itu adalah satu jalan yang gelap, maka jangan kamu tempuhi" 

Jika beliau dipaksa juga menjelaskan persoalan yang pelik dalam masalah takdir ini maka beliau menjawab "…itu adalah suatu lautan yang amat dalam, maka jangan kamu terjun ke dalamnya" 

Jika beliau dipaksa juga menjelaskan persoalan tersebut, maka beliau menjawab "…itu adalah rahsia yang dimiliki Allah, jangan kamu cuba menyingkapnya".

 

2/4/09

Tuntutan Untuk Belajar


Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud:
"Mengapa tidak ada sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu, yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama."
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya ke syurga."

"Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang muslim"
Abu Darda' ada berkata:
"Sekiranya saya dapat mempelajari sesuatu masalah, itu adalah lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam."
"Orang yang alim dan orang yang menuntut ilmu itu adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara selain daripada keduanya adalah sia-sia, tiada berguna sama sekali."

Fatah al-Maushili pernah berkata:
"Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan dan minum ubat. Maka ia akan mati! Orang ramai menjawab: Benar kata engkau: Demikian pulalah sifatnya hati, sekiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga hari, maka ia akan mati."
Berkata Ibn Mas'ud:
"Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ia terangkat. Dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang yang sudah pandai. jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar."

Kesempurnaan Ibadah



Daripada hasil pengetahuan ini dengan Allah Taala dan bersungguh-sungguh ia hingga belajar barang yang wajib akan dia daripada segala furud syar'iyyah pada zahir dan batin (maka tatkala) sempurnalah ia ilmu dan pengetahuan dengan segala fardhu dan bangkit ia sanya hendak mengambil di dalam ibadat dan membimbangkan dengan dia maka ditilik maka tiba-tiba adalah ia mempunyai jenayah yakni luka dan dosa dan inilah hasil kebanyakan daripada manusia (maka berkata ia) betapa aku berhadap atas ibadat dan aku orang yang mengekalkan atas maksiat lagi berlumur-lumur dengan dia maka wajib pertama-tama atasku bahawa aku taubat kepadanya supaya diampun bagitu dosaku dan dilepaskan daku daripada tawanannya dan menyucikan daku daripada segala yang kotor maka ketika itu patut bagi khidmat dan dapat hampir bagi hamparan Allah
(Imam Al-Ghazali, Minhajul Abidin, terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Bin Halabi Press, t.t., t.p., m.s 7)



Huraian,

Ia sedar bahawa, keinginannya cukup melangit tinggi untuk melaksanakan ibadat kepada Tuhan Pengurnia segala nikmat. Akan tetapi keterbatasan dan kekurangan ilmu pengetahuan bagaimana untuk beribadat menjadi penghalang untuk ia meneruskan keinginannya itu.

Iaitu untuk beribadat dan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. untuk dilaksanakan samada tuntutan dari aspek zahir ataupun tuntutan dari aspek batin.

Dengan itu ia dengan penuh keinsafan ia menyedari dan mengambil keputusan untuk belajar apa yang diwajibkan dan dituntut ke atasnya.

Yang terdiri daripada beberapa tuntutan yang ditetapkan syarak. Sama ada yang zahir dan yang batinnya.

Maka ia pun bersungguh-sungguh beramal dan bersungguh-sungguh beribadat dengan apa yang telah dipelajarinya.

Tiba-tiba ia menyedari bahawa ia masih lagi mempunyai dosa. Masih lagi bergelumang dengan noda. Keadaan inilah yang ada pada ramai manusia.

Ketika aku bersungguh-sungguh dan tekun beribadah, aku masih lagi bermaksiat dan bergelumang dengan najis dosa.
Maka aku patut bertaubat kepada Allah Pengurnia segala nikmat.
Supaya aku diampun dosa-dosaku. Supaya dilepaskan aku dari ikatan nodaku. Supaya disucikan aku dari kotoran dosaku.

Maka barulah bermutu ibadah dan akan hampir ia kepada Tuhannya.