2/4/09

Tuntutan Untuk Belajar


Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Taubah ayat 122 yang bermaksud:
"Mengapa tidak ada sekelompok pun dari setiap golongan mereka itu, yang berangkat untuk menambah ilmu pengetahuan agama."
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah s.w.t. akan melorongkan baginya ke syurga."

"Menuntut ilmu adalah wajib di atas setiap orang muslim"
Abu Darda' ada berkata:
"Sekiranya saya dapat mempelajari sesuatu masalah, itu adalah lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam."
"Orang yang alim dan orang yang menuntut ilmu itu adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara selain daripada keduanya adalah sia-sia, tiada berguna sama sekali."

Fatah al-Maushili pernah berkata:
"Bukankah si pesakit itu bila tidak diberikan makan dan minum ubat. Maka ia akan mati! Orang ramai menjawab: Benar kata engkau: Demikian pulalah sifatnya hati, sekiranya ia tidak diberikan hikmat dan ilmu pengetahuan selama tiga hari, maka ia akan mati."
Berkata Ibn Mas'ud:
"Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ia terangkat. Dan terangkatnya ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu tiada dilahirkan sebagai orang yang sudah pandai. jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar."

Kesempurnaan Ibadah



Daripada hasil pengetahuan ini dengan Allah Taala dan bersungguh-sungguh ia hingga belajar barang yang wajib akan dia daripada segala furud syar'iyyah pada zahir dan batin (maka tatkala) sempurnalah ia ilmu dan pengetahuan dengan segala fardhu dan bangkit ia sanya hendak mengambil di dalam ibadat dan membimbangkan dengan dia maka ditilik maka tiba-tiba adalah ia mempunyai jenayah yakni luka dan dosa dan inilah hasil kebanyakan daripada manusia (maka berkata ia) betapa aku berhadap atas ibadat dan aku orang yang mengekalkan atas maksiat lagi berlumur-lumur dengan dia maka wajib pertama-tama atasku bahawa aku taubat kepadanya supaya diampun bagitu dosaku dan dilepaskan daku daripada tawanannya dan menyucikan daku daripada segala yang kotor maka ketika itu patut bagi khidmat dan dapat hampir bagi hamparan Allah
(Imam Al-Ghazali, Minhajul Abidin, terjemahan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Bin Halabi Press, t.t., t.p., m.s 7)



Huraian,

Ia sedar bahawa, keinginannya cukup melangit tinggi untuk melaksanakan ibadat kepada Tuhan Pengurnia segala nikmat. Akan tetapi keterbatasan dan kekurangan ilmu pengetahuan bagaimana untuk beribadat menjadi penghalang untuk ia meneruskan keinginannya itu.

Iaitu untuk beribadat dan apa yang dituntut oleh Allah s.w.t. untuk dilaksanakan samada tuntutan dari aspek zahir ataupun tuntutan dari aspek batin.

Dengan itu ia dengan penuh keinsafan ia menyedari dan mengambil keputusan untuk belajar apa yang diwajibkan dan dituntut ke atasnya.

Yang terdiri daripada beberapa tuntutan yang ditetapkan syarak. Sama ada yang zahir dan yang batinnya.

Maka ia pun bersungguh-sungguh beramal dan bersungguh-sungguh beribadat dengan apa yang telah dipelajarinya.

Tiba-tiba ia menyedari bahawa ia masih lagi mempunyai dosa. Masih lagi bergelumang dengan noda. Keadaan inilah yang ada pada ramai manusia.

Ketika aku bersungguh-sungguh dan tekun beribadah, aku masih lagi bermaksiat dan bergelumang dengan najis dosa.
Maka aku patut bertaubat kepada Allah Pengurnia segala nikmat.
Supaya aku diampun dosa-dosaku. Supaya dilepaskan aku dari ikatan nodaku. Supaya disucikan aku dari kotoran dosaku.

Maka barulah bermutu ibadah dan akan hampir ia kepada Tuhannya.