4/20/09

Takdir


Maksud takdir ialah peraturan tertentu yang telah dibuat oleh Allah untuk segala yang ada di muka bumi ini. Peraturan tersebut ialah undang-undang umum ataupun ketentuan-ketentuan yang diikat dengan sebab dan musabbab.

Menurut Imam Nawawi, ketika memberikan definisi takdir "…segala yang ada dalam alam ini sudahpun digariskan sejak masa qidam terdahulu. Allah mengetahui apa sahaja yang terjadi dan bila terjadi bersesuaian dengan garis yang ditetapkannya. Apa yang berlaku kemudiannya akan pasti sama dan selari dari segi sifat-sifat dan keadaan yang khusus tepat seperti yang telah digariskan oleh Allah"

      Manakala Imam al-Khattabi berkata mengenai takdir ini "…banyak orang menyangka bahawa erti qadha dan qadar Allah adalah semacam satu bentuk pemaksaan yang dilaksanakan oleh Allah terhadap hambaNya. Padahal bukan begitu sebenarnya, takdir itu ialah suatu macam pemberitahuan mengenai apa yang telah diketahui Allah tentang apa saja perbuatan manusia. Jadi, berlakunya sesuatu itupun kerana menurut takdir yang telah ditentukan Allah sesuai dengan asal penciptaan sesuatu perkara yang mempunyai sifat baik ataupun buruk."

       Daripada definisi yang diberikan oleh al-Khattabi ini, kita dapat maklumi bahawa Allah akan mengetahui segala peristiwa dan berlakunya peristiwa semestinya sama dan selari dengan apa yang diketahui oleh Allah S.W.T. Perlu dijelaskan bahawa pengetahuan Allah itu tidak akan memberi apa-apa kesan pun terhadap kehendak yang ada pada manusia. Kerana pengetahuan mempunyai sifat menyingkap dan bukannya mempengaruhi.

  Sebagai contoh, seorang bapa mengetahui yang anaknya pandai, pintar berusaha bersungguh mengulangkaji pelajaran. Namun, pengetahuan bapa mengenai anaknya itu belum tentu akan menjamin yang anaknya akan berjaya dalam pelajarannya.

Qada' dan Qadar


 Abu Hurairah apabila setiap kali ditanya orang mengenai perkara-perkara pelik dalam persoalan takdir beliau menjawab "…itu adalah satu jalan yang gelap, maka jangan kamu tempuhi" 

Jika beliau dipaksa juga menjelaskan persoalan yang pelik dalam masalah takdir ini maka beliau menjawab "…itu adalah suatu lautan yang amat dalam, maka jangan kamu terjun ke dalamnya" 

Jika beliau dipaksa juga menjelaskan persoalan tersebut, maka beliau menjawab "…itu adalah rahsia yang dimiliki Allah, jangan kamu cuba menyingkapnya".